Thursday, March 09, 2006

Menyediakan Rumah Untuk Perniagaan


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hari ini saya akan berkongsi dengan anda artikel mengenai bagimana nak menyediakan
rumah untuk perniagaan kita. Sumber artikel ini adalah dari http://www.ehomemakers.net/
. Saya kira ia sangat menarik kerana tanpa perancangan yang betul, apa jua perkara
yang kita lalukan takkan berjaya. Harap artikel ini akan dapat membantu anda
serba sedikit didalam membuat perancangan. Selamat membaca!

-------------------------

Bagi kebanyakan orang, bekerja dari rumah kedengaran seperti satu aturan yang
ideal. Anda tidak perlu menghabiskan masa dalam perjalanan pergi atau pulang
dari tempat kerja. Anda boleh berada bersama anak-anak anda apabila mereka pulang
dari sekolah, dan anda tidak perlu melapor pada sesiapa kecuali diri anda sendiri.
Anda boleh bekerja bila-bila sahaja yang sesuai dengan anda.

Secara teorinya, ia memang menarik. Walaubagaimanapun, bekerja dari rumah penuh
dengan cabarannya sendiri. “Bekerja mengikut masa sendiri” boleh bertukar
kepada “bekerja sepanjang masa” jika anda tidak menetapkan satu jadual
bekerja. Anak-anak yang nakal pula adalah cabaran terbesar apabila anda mahu
menggambarkan imej profesional kepada bakal klien yang sedang berada di telefon.

#1: Mengasingkan perniagaan dan kehidupan peribadi

Kunci atau asas kejayaan dalam peralihan kepada perniagaan dari rumah ini ialah
dengan mengasingkan perniagaan dan kehidupan peribadi anda sejauh mungkin. Tetapkan
dari awal lagi jadual harian anda dimana ia akan menyatakan berapa jam (dan
pukul berapa) dalam sehari yang anda peruntukkan kepada perniagaan dan jangan
berganjak dari jadual ini. Apa yang tidak dapat anda selesaikan pada hari ini
boleh diselesaikan esok.

Jangan biarkan perniagaan anda mengambil masa yang anda tetapkan untuk kehidupan
peribadi dan keluarga.Satu cara untuk mengasingkan perniagaan dan kehidupan
peribadi ialah dengan mempunyai kawasan berasingan di rumah bagi kedua-dua perkara
ini. Jika boleh, peruntukkan satu bilik di rumah atau pangsapuri anda eksklusif
sebagai pejabat. Pastikan semua ahli keluarga faham bahawa apabila anda berada
di dalam bilik itu, anda sedang bekerja dan tidak boleh diganggu kecuali pada
waktu kecemasan.

Jangan gunakan bilik itu untuk aktiviti-aktiviti yang tidak melibatkan kerja
seperti menonton TV. Dengan membuat pengasingan seperti ini, anda akan menguatkan
dalam fikiran anda (dan dalam fikiran ahli keluarga yang lain) bahawa pejabat
ialah tempat anda menjalankan perniagaan dan ini harus dihormati oleh setiap
orang.

Dengan membuat pengasingan ini juga dapat membantu anda “menutup suis”
pada penghujung hari dan anda boleh menutup pintu pejabat dan pulang ke “rumah”
untuk bersama keluarga.

Kadang kala anda akan terdorong untuk menangani tugas-tugas yang tidak berkaitan
dengan kerja pada masa yang telah anda peruntukkan untuk bekerja. Jika sikap
ini terus digalakkan, ia akan mengaburkan garis sempadan yang telah anda tetapkan
di antara kerja dan kehidupan peribadi.

Elakkan dari meninggalkan pejabat anda untuk memasukkan baju ke dalam mesin
basuh, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan bilik air, mengemas kabinet dapur
dan sebagainya. Gangguan-gangguan seperti ini hanya akan menyebabkan anda terpaksa
duduk lebih lama dalam pejabat daripada yang sepatutnya demi untuk menyiapkan
kerja yang tertangguh.

Satu lagi panduan penting untuk mengasingkan kedua-dua dunia ini ialah dengan
mempunyai talian telefon, modem dan faksimili yang berasingan. JANGAN
benarkan anak-anak anda menjawab panggilan di talian perniagaan anda. Dapatkan
khidmat menjawab telefon untuk mengambil panggilan anda pada waktu tidak bekerja.


Begitu juga, apabila anda sedang bekerja, cuba pastikan bahawa anak-anak
anda sibuk dengan perkara lain apabila anda membuat panggilan berkenaan perniagaan
. Anda tentu tidak mahu bakal pelanggan anda mendengar jeritan kanak-kanak di
sebelah apabila anda sedang cuba meyakinkannya untuk menerima khidmat yang anda
tawarkan.

Jika anda mempunyai anak kecil, ambillah seorang penjaga kanak-kanak pada waktu
di mana anda tahu anda akan membuat panggilan telefon. Jika anda mempunyai anak
yang sudah besar, mintalah dia melayan adik-adiknya.

Anda mungkin terpaksa membayar untuk khidmat ini sebagai cara untuk dia mendapatkan
duit poket tambahan. Wang yang anda belanjakan untuk khidmat penjagaan ini tidak
seberapa berbanding imej profesional yang dapat anda tunjukkan kepada pelanggan
dan klien yang baru atau yang sedia ada.

Adalah penting bagi anda memilih jenis perniagaan yang berkaitan dengan sesuatu
yang anda gemari, tetapi jangan biarkan perniagaan anda ini menjauhkan anda
dari keluarga
. Lagipun, keluarga biasanya merupakan alasan pertama bagi
seseorang itu memutuskan untuk bekerja dari rumah. Anda bukan sahaja perlu berada
di samping mereka dari segi fizikal, tetapi juga dari segi mental dan emosi.

Jika anda berjaya mengimbangi kedua-dua dunia ini, anda tentu boleh berjaya
secara peribadi dan secara profesional. Aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan
yang anda lakukan pada waktu di luar waktu bekerja dapat memberi tenaga kepada
kehidupan perniagaan anda.

Oleh itu, jangan fikir mengenai kerja yang boleh anda siapkan ketika anda sedang
berehat bersama keluarga di pantai pada hari minggu. Sebaliknya, fikirkan bahawa
keseronokkan yang anda nikmati hari itu adalah pelaburan bagi perniagaan anda
untuk minggu hadapan.

Beri 100% tumpuan kepada kerja dalam masa yang telah anda peruntukkan untuk
bekerja. Kemudian tutup pintu dan pulang ke rumah. Keluarga anda juga perlukan
anda 100%.

#2 :Pengurusan Ruang didalam Rumah

Adakah anda telah menyediakan rumah anda seadanya supaya anda boleh bekerja
dengan selesa? Kecuali jika anda telah memasukkan sekali cadangan untuk rumah
berpejabat kedalam pelan rumah baru anda, atau anda mempunyai ruang dan kewangan
yang mencukupi untuk menyediakan suatu sistem pejabat buatan, rumah berpejabat
anda mungkin tidak menyamai sebuah pejabat biasa.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa ia tidak dapat berfungsi seperti
fungsi pejabat yang biasa kerana anda hanya perlukan pengetahuan tentang bagaimana
untuk menguruskan segala ruang yang ada didalam rumah anda.

Apakah yang anda lihat apabila anda melangkah masuk ke satu ruang kosong sebuah
bilik? Anda mungkin melihat satu kawasan yang berkeluasan 100 kaki persegi,
dan itu sahaja! Dengan sedikit kreativiti dan kemahiran organisasi, anda juga
akan menyedari satu ruang bekerja / penyimpanan yang sepuluh kali atau mungkin
juga seratus kali lebih dari keluasan lantainya. Menguruskan satu ruang fizikal
merupakan satu tugas yang mencabar. Terutama sekali sekiranya anda bekerja dari
rumah.

Anda perlu mendapatkan satu ruang khas daripada persekitaran yang telah sedia
ada. Pada tahap-tahap yang tertentu, ia melibatkan pula kemahiran organisasi.
Berkemaslah dan anda akan menemui banyak ruang kosong yang tidak pernah anda
terfikirkan. Buangkan semua barang-barang yang tidak perlu dan tidak boleh digunakan
lagi.

Jika ianya masih dalam keadaan elok, pertimbangkan untuk menjualnya ke kedai
barang-barang terpakai ataupun dipasar-pasar lambak. Bagi tujuan untuk memaksimumkan
ruang fizikal kosong yang ada, anda perlu melihat ke beberapa arah yang tertentu
– atas, bawah, sisi, dalam, luar dan menegak.

  • Atas - Perhatikan samada terdapat ruang kosong diatas katil tidur
    anda, tingkap dan almari pakaian

  • Bawah - Maksimumkan penggunaan ruang kosong dibawah katil anda, sofa,
    sinki dapur dan tangga. Simpan barang didalam kotak-kotak yang berlabel dengan
    kemas dan terang.

  • Sisi - Tolak semua perabot rapat ke dinding. Jika anda perlu ruang
    permukaan kerja yang lebih, pertimbangkan meja lipat yang bersambung dan terikat
    didinding.

  • Dalam - Maksimumkan penggunaan ruang didalam almari, almari pakaian,
    kabinet dan laci sedia ada. Tambah penyangkuk untuk mengantung barang-barang
    dan ‘plywood’ untuk menambahkan lagi para-para untuk tujuan simpanan.

  • Luar - Perhatikan sekeliling dan lihat samada terdapat kawasan-kawasan
    yang tidak digunakan sepenuhnya. Bina beberapa para-para pada dinding dengan
    menggunakan bahan-bahan ringkas yang tersedia dipasaran bagi memperolehi ruang
    meletak barang yang lebih ataupun mempamer barangan.

  • Menegak - Manfaatkan sepenuhnya ketinggian dinding-dinding rumah
    anda. Dengan cara ini, anda mengurangkan pengguna ruang pada lantai. Namun
    begitu, pastikan anda juga mempastikan aspek-aspek keselamatan sekiranya anda
    mempertimbangkan untuk menyusun kotak-kotak secara menegak.

Selain daripada ruang fizikal, ruang psikologi juga merupakan sesuatu yang
tidak boleh anda abaikan. Pertimbangkan perkara-perkara berikut:

  • Adakah anda mempunyai ruang penampan yang selesa diantara kawasan
    bekerja anda dan ruang duduk keluarga atau bilik-bilik tidur / katil? Jika perlu, anda mungkin perlu menyekat kawasan bekerja anda dengan menggunakan
    tumbuh-tumbuhan didalam pasu, rak buku atau tirai-tirai yang menarik.

  • Adakah ‘pejabat’ anda itu akan menganggu rutin harian ahli-ahli
    keluarga anda? Adakah mereka akhirnya perlu menjawab panggilan telefon untuk
    anda? Adakah anda menuntut keadaan yang sunyi sepi dirumah anda semasa anda
    bekerja? Adakah anda menganggu privasi mereka atau sebaliknya ketika anda
    bekerja di rumah?

  • Adakah perubahan kedudukan perabot rumah telah menyusahkan ahli-ahli
    keluarga anda? Adakah perkara ini akan menghasilkan perasaan kecil hati dan
    tiada persefahaman dimasa akan datang?

    Ingatlah, kita perlu tahu membezakan diantara pengasingan dan gangguan. Anak-anak
    anda mungkin tidak akan bersetuju dengan idea anda untuk mengasingkan diri ketika anda sedang melakukan kerja-kerja ‘berfikir’ yang serius.

Dengan itu, anda mungkin memerlukan suasana sunyi tersebut dalam usaha menyiapkan
kerja sebelum tarikh akhir. Untuk perkara seperti ini, ruang psikologi juga
adalah sama pentingnya seperti ruang fizikal.

#3: Susun Atur Tempat Kerja

Mungkin boleh melemahkan semangat apabila memikirkan tentang peralatan atau barangan yang perlu anda susun didalam tempat kerja anda. Dimana perlu kita mulakan? Panduan am berikut adalah satu aliran kerja secara logik. Persediaan ‘pejabat’ rumah anda perlulah selari dengan aliran dan ciri semulajadi
kerja anda.


  • Simpan benda-benda yang akan selalu digunakan pada jangkauan tangan anda.
    Ia termasuklah rekod-rekod perniagaan anda, fail kertas, disket computer dan
    kad-kad nama.

  • Pastikan ‘pejabat’ rumah anda itu menawarkan persekitaran yang
    selamat untuk anda bekerja didalamnya – adakah wayar-wayar berada didalam
    keadaan yang kemas dan sepatutnya, supaya anda tidak akan tersadung wayar
    mesin pencetak anda? Keselamatan adalah lebih menjadi keutamaan bagi golongan
    wanita mengandung dan yang menggunakan kerusi roda.

  • Gunakan cahaya semulajadi seberapa banyak yang boleh untuk menjimatkan
    perbelanjaan tenaga elektrik.

Apa sahaja jenis perniagaan yang anda ceburi, produktiviti, keselamatan, ruang
dan sumber tenaga yang efisien merupakan pengukur yang penting untuk menghasilkan
susun atur ‘pejabat’ rumah yang terbaik.

#4: Persekitaran Yang Betul Untuk Pelanggan

Mewujudkan atmosfera perniagaan adalah penting sekiranya anda akan menerima
kedatangan pelanggan atau pengguna anda dirumah.

Sebenarnya, apabila anda menjalankan perniagaan SOHO anda sendiri, adalah payah untuk memastikan pelanggan terus berada diluar. Apabila mereka singgah untuk mengambil barang-barang tempahan mereka, adalah payah untuk tidak menjemput mereka masuk kedalam rumah. Ambil langkah-langkah berikut sebagai panduan:

  • Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan ‘SOHO’ seperti
    rekabentuk grafik; perakaunan; perunding kewangan; perkhidmatan kesetiausahaan;
    ‘copywriting’; terjemahan; ‘desktop publishing’ dan rekabentuk
    laman web:

Pelanggan atau bakal pelanggan anda mungkin berminat kepada keadaan pejabat
anda, keupayaan, bahan-bahan rujukan, kelulusan dan pengiktirafan industri jika
ada. Sentiasa kemaskini contoh-contoh hasil kerja anda dan senarai pelanggan-pelanggan
yang dikenali ramai.

Beberapa benda yang disusun dengan teratur dan bersesuaian dengan tema keseluruhan
anda seperti sebuah meja atau papan putih digantung didinding dengan kemasnya
akan menaikkan seri ruang pejabat anda tanpa menghalang daya produktiviti kerja
anda. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menambah satu dua jenis tumbuhan
atau sedikit sentuhan artistik untuk memberikan ‘kehidupan’ kepada
pejabat anda.

Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan pengurusan acara seperti mengelolakan
jamuan harijadi, jamuan perkahwinan, jamuan-jamuan koperat, perhimpunan-perhimpunan
etnik atau sebarang aktiviti-aktiviti khas:

  • Gantungkan gambar-gambar acara-acara yang pernah anda uruskan sebelum ini
    didalam pejabat anda. Jadikan bakal-bakal pelanggan anda teruja dengan membantu
    mereka membayangkan acara-acara yang bakal anda kelolakan untuk mereka dengan
    bantuan gambar-gambar tersebut.

Sekiranya anda menjual pakaian dan aksesori, anda akan perlukan sebuah
bilik persalinan untuk kemudahan pelanggan-pelanggan anda.

  • Pengalaman untuk mencuba pakaian perlulah sesuatu yang menenangkan dan selesa
    sepertimana pengalaman membeli-belah dipusat membeli-belah. Sediakan koleksi
    majalah-majalah fesyen wanita yang terkini ditempat-tempat yang mudah dijangkau
    oleh pelanggan-pelanggan anda.

Sekiranya anda menjual produk seperti kraftangan, hadiah buatan tangan,
gubahan bunga, dll:

  • Pamerkan hasil-hasil kerja anda dengan bantuan alatan yang sesuai mengikut
    suasana yang tertentu. Persekitaran yang bersepah boleh mengurangkan daya
    tarikan barang-barang tersebut.

Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak
dirumah:

  • Isu keselamatan, kebersihan, sumber cahaya dan peredaran udara merupakan
    kebimbangan utama pelanggan anda. Jadi pastikan anda mengambilkira segala
    aspek tersebut dan menyediakan persekitaran yang selamat untuk anak-anak mereka.

Ingat, ‘pejabat’ rumah anda adalah bidang anda. Anda dengan mudah
boleh mereka bentuk sebuah pejabat yang akan mencerminkan personaliti dan stail
anda, didalam ruangan yang terbatas dan belanjawan anda. Jangan lupa, ‘pejabat’
rumah akan berkembang mengikut masa, bergantung kepada keperluan perniagaan
anda.

#5: Masa Urusniaga dan Percutian

Jika anda bekerja dipejabat, pastinya anda mempunyai masa bekerja yang tetap.
Namun, dengan memindahkan pejabat anda ke rumah, pasti ramai yang beranggapan
mereka perlu menjalankan urusniaga 24 jam. Ini pastinya akan mengganggu kehidupan
peribadi anda jika telefon asyik berdering sepanjang masa.

Jangan takut kehilangan pelanggan hanya kerana mereka tidak boleh menghubungi
anda diluar “waktu pejabat” kerana anda masih boleh menerima pesanan
mereka pelbagai kaedah telekomunikasi canggih seperti peti simpanan suara, SMS
dan email. Jadi, jangan ragu-ragu untuk memaklumkan kepada para pelanggan anda
waktu anda boleh dihubungi untuk urusan perniagaan.

Begitu juga dengan hari bekerja. Seperti pekerja biasa, anda juga perlukan
cuti, jadi pastikan anda menetapkan hari cuti anda agar anda dapat menumpukan
sepenuhnya kepada keluarga dan diri sendiri.

Dengan ini,anda akan menjadikan perniagaan dari rumah anda begitu menyeronokkan
untuk anda dan keluarga. Walaupun dengan bekerja sendiri bebas memilih masa
bercuti dan bekerja, namun anda perlu bersikap profesional dan komited kepada
perniagaan dan peribadi.

Jika anda akan bercuti panjang, anda perlu memilih jumlah masa yang sesuai.
Pelanggan anda mungkin tidak kisah jika pejabat anda tutup pada musim cuti.
Oleh itu, selagi mereka diberi notis awal, mereka tentu akan faham. Lagipun,
setiap orang perlukan cuti untuk berehat.

Jika anda rasakan bahawa anda tidak boleh menutup pejabat selama itu, jadi
timbangkan samada anda boleh menggaji seseorang untuk sementara waktu untuk
menguruskan perniagaan seharian anda sementara anda bercuti.

-----------

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm

Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

No comments: